Skip to content
You are here: Home

Solat dengan Khusyuk Print E-mail
Monday, 14 September 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang, Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya. 

Untuk renungan diri sendiri dan juga kepada mereka yang dirahmati oleh ALLAH. 

diambil dari Mingguan malaysia, 3 Jun 2007.

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS

Bagaimana solat dengan khusyuk?

Soalan: Saya selalu melakukan solat tetapi masih tidak dapat merasai kekhusyukan dan tidak hadir dalam hati ketika solat. Bagaimana cara dan teknik sembahyang untuk mendapat khusyuk dalam solat kita?

– Saadiah Mohd, Taiping.

Jawapan: Mula-mula sekali kefahaman dan paradigma kita tentang solat itu sendiri perlu diperbetulkan. Ini adalah kerana solat itu sendiri adalah ketenangan yang maha agung seperti firman-Nya bermaksud: Mengingati Allah s.w.t. adalah ketenteraman yang paling agung (dari segala-galanya) (Surah al-Ankabut ayat 45). Dan firman-Nya lagi bermaksud: ketahuilah dengan mengingati Allah s.w.t. itu akan tenteramlah segala hati dan jiwa (ar-Ra‘du ayat 28).

Ini kerana ianya adalah ibadat yang paling utama dan lengkap dan banyak mengandungi pengajaran yang dapat membentuk peribadi muslim yang unggul (mempunyai minda kelas pertama) dan berakhlak mulia serta ikhlas terhadap Allah dalam setiap keadaan seolah-olah ia berhadapan dengan Allah. Sekiranya intisari dari ibadat solat ini dapat diterapkan dalam fahaman kita atau diterjemahkan dalam kehidupan masing-masing pastilah solat itu akan lebih bermakna, berkesan dan dapat melahirkan insan yang benar-benar patuh kepada ajaran Islam yang maha suci.

Dengan itu dunia ini akan penuh tenteram, bahagia dan tidak ada lagi berlaku kemungkaran atau kefasikan kerana solat itu telah dijamin Allah dapat mencegah perkara tersebut (fahsya dan munkar). Dalam hal ini firman Allah bermaksud: Sungguhnya solat itu akan mencegah perkara fahsya dan mungkar. Dan ayat yang sama dari surah yang sama, dan selepas itu cara dan kaifiatnya hendaklah mengikut peraturan yang digariskan terutama fikiran dan hati perlu faham segala hikmat dari setiap amalan dan bacaan dalam solat itu sendiri.

Jangan pula solat itu dikira keberatan dan kesusahan kerana perasaan itu akan menghilangkan rasa khusyuk dari hati mereka yang solat sebagaimana sabda Rasulullah kepada Bilal. Rehatkan kita dengan solat itu wahai Bilal! Ini bererti solat itu sendiri merupakan kerehatan dan ketenangan.

Sabdanya lagi bermaksud: dikasihi kepadaku dari dunia kamu antara lain ialah rasa ketenangan hati dalam solat. Tetapi malang sekali kerana kefahaman kita adalah sebaliknya, sebab itu kita masih tidak dapat merasai khusyuk dalam solat. Sedangkan solat itu adalah hubungan atau satu komunikasi antara hamba dengan Tuhannya sebagaimana sabda Rasulullah: Orang yang solat itu sedang bermunajat atau berbisik mengadu halnya dengan Tuhannya.

Sebab itu kalau kita dapat memahami bacaan dalam solat dan dapat dihayati tujuan dan maksudnya, maka itulah sebahagian dari kekhusyukan yang diharapkan. Tetapi amatlah sedikit mereka yang faham bacaannya sendiri. Lantaran itu kita jauh sekali dapat menterjemahkan hikmat solat itu ke dalam kehidupan kita. Ini kerana amalan solat kita sahaja pada lahirnya nampak berjemaah tetapi pada hakikatnya kita bernafsi-nafsi.

Solat mengajar kita bersatu di bawah satu kepimpinan tetapi kita berbilang bilang kepimpinan dan berpuak-puak. Solat mengajar kita sama-sama berkasih sayang tetapi kita terus bermusuh dan berkelahi sesama sendiri. Solat membuktikan Allah yang Maha Agung sebagaimana ucapan kita yang pertama dalam solat, tetapi kita tetap merasai diri dan nafsu kita (keegoan) yang lebih besar dari segala-galanya. Kita menganggap orang lain semuanya salah malah sesat dan kita sahaja yang betul dan tepat sebab itu rasa khusyuk tidak dapat hidup subur dari hati kita.

Marilah kita sama-sama membaca doa ini “Tuhan kami! bukalah di kalangan kami juga di kalangan kaum kami dengan (sinaran) kebenaran (petunjuk-Mu) Engkau sebaik-baik pembuka (hati kami dengan kebenaran petunjuk-Mu amin). Wallahualam.

 
Next >

GC Jewelry

GC Jewelry

Aidil Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday33
mod_vvisit_counterYesterday60
mod_vvisit_counterThis week187
mod_vvisit_counterThis month1295
mod_vvisit_counterAll16758

Google Adsense

Recommended



Download

My Tweet

Follow me on twitter